Titah Sultan Selangor Kepada Penganjur BERSIH !



HULU SELANGOR : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar rakyat menggunakan saluran yang betul untuk meluahkan pendapat bagi mengelakkan tercetusnya suasana tegang dalam negara.

Baginda menyeru agar rakyat Melayu di negeri Selangor supaya bersatu-padu dan mengelakkan perbalahan disebabkan oleh ideologi politik yang berlainan.

"Sekiranya ada sesuatu yang tidak memuaskan hati dan ingin meluahkan sesuatu pendapat, ianya hendaklah dilakukan melalui saluran yang betul bagi mengelakkan provokasi yang boleh mencetuskan suasana tegang dan menjejaskan keamanan negara," titah Baginda di perasmian Masjid Masjid As-Salam, Bukit Sentosa tengahari tadi.

"Malah Beta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan api permusuhan dan perbalahan antara kaum dan masyarakat di negeri Selangor ini," titah beliau lagi.

Sultan Selangor turut mengingatkan bahawa masjid dan surau tidak harus digunakan sebagai tempat berkumpul bertujuan untuk menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Baginda turut menggesa semua pihak memastikan rumah ibadat Islam di Selangor kekal bebas daripada sebarang anasir politik berkepentingan.

"Justeru, langkah pencegahan di peringkat awal amat perlu supaya masjid kekal sebagai tempat awam dan berkecuali dari segala pengaruh politik dan mana-mana pihak yang berkepentingan," titahnya lagi.


"Masjid dan surau janganlah digunakan sebagai tempat tidur atau berkumpul oleh mereka-mereka yang datang dari tempat lain untuk menyertai demonstrasi jalanan atau perhimpunan-perhimpunan yang diharamkan oleh pihak berkuasa," titah Sultan Sharafuddin.

"Jika orang Melayu sanggup berkumpul di masjid atau surau untuk melakukan sesuatu yang salah disisi undang-undang, maka ini menunjukkan betapa rendahnya pemikiran orang-orang Melayu di dalam memuliakan rumah suci Allah ini kerana masjid dan surau adalah tempat suci dan mulia serta tempat untuk beribadat dan mendekati diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala," titah baginda lagi.

No comments:

Post a Comment